
Tembok Berlin dibina untuk memisahkan sebuah Negara Demokrasi dengan Negara Komunis. Memisahkan German Barat dan German Timur, Berlin Barat dan Berlin Timur. Akhirnya dirobohkan oleh rakyat pada tahun 1989. Derita rakyat yang bersaudara akhirnya terlerai dan disatukan.
Kesatuan ini adalah hasil perjuangan dan kesedaran Bangsa German dizahirkan melalui emosi yang melimpah-ruah, sehingga tidak boleh dibendung dengan teriakan dan laungan “wir sind das Volk” atau “We are the people”.
Teriakkan rakyat “We are coming” dan “Open the gate” menakutkan segala hulubalang bersenjata. Gelombang manusia tidak boleh disekat. Ibarat kata, apabila gelombang sudah menjadi tsunami tidak ada kuasa dan kudrat manusia boleh menahannya. Tahan balak, balak hanyut. Tahan ‘culvert’, ‘culvert’ pecah. Akhirnya hulubalang yang bersenjata pun samada turut memaki hamun majikan mereka atau lari bertempiaran. Waktu itu ideologi dan kedegilan tidak berguna lagi.
Akhirnya tinggallah pemimpin yang ego terkencing melilih.
Senario ini tidak mustahil akan meletus di Perak. Kenapa MB ‘Kembar Siam’, Zambry dan Nizar tidak boleh dipisahkan segera? Mereka terikat menjadi kembar siam bukannya kerana rakyat yang mengikat mereka. Yang mengikat mereka berdua ialah “ketaksuban dan keegoan” gulungan masing-masing.
Sewaktu Najib dinobat sebagai Khalifah Negara Malaysia, secara sengaja atau tidak, (Wallahualam),atau mungkin tersangatlah terujanya maka terpancutlah gagasan 1MALAYSIA dari lidah beliau dengan penuh dramatis.
1Malaysia, ‘rakyat diutamakan, prestasi didahului’ perlu diolah secara spiritual dan diterjemah secara lahiriah. Allah menguji Najib di Perak. Konsep 1Malaysia telah gagal diterjemahkan oleh DSN. Kemelut ini kalau mengikut spirit 1Malaysia ia harus diserahkan kepada rakyat untuk menjadikan hakim yang mutlak.Kalau rakyat diutamakan, usah berdolak-dalih. Kalau dinilai dari perspektif prestasi; dimana ‘benchmark’nya? Dengan mengizinkan ‘Kembar Siam’ meronta-ronta, rakyat akan menderita.
Jangan mengekang hak rakyat. Nanti mereka mengamuk. Nasib BN pada PRU 12 adalah satu demonstrasi senyap memprotes kerajaan BN melalui kertas undi. Dengan keengganan untuk rakyat menterjemahkan hak mereka melalui demokrasi di Perak, saya yakin rakyat akan berdendam dan menterjemahkannya pada PRU 13 nanti.Bukan sahaja di Perak tetapi seluruh Negara. Rakyat 1Malaysia sedang menyaksikan gelagat orang yang ada kuasa.
Konsep 1Malaysia yang gagal diterjemahkan secara fizikal dan spiritual akan menjadi katalis mempercepatkan proses kejatuhan UMNO dan Barisan nasional. ‘Revolusi Aman’ akan menjadi reality di 1Malaysia.
Nota untuk Najib: Sebatang lidah yang tersengkang dalam mulut, jangan biarkan ia bercabang demi Agama,bangsa dan Negara.Sebutir jantung yang tersemat di dada jangan biarkan ia berbelah bahagi demi Agama,Bangsa dan Negara.Jangan mempermain-mainkan sumpah Wallahi..semasa menanggung tugas di depan Raja dan disaksikan jutaan rakyat.
Bencana menanti!