Sebenarnya fenomena politik seperti di atas bertitik-tolak daripada nilai-nilai yang dimiliki oleh seseorang pemimpin dan anggota masyarakat itu sendiri. Sekiranya masyarakat berpegang teguh kepada ajaran agama, ikhlas dalam perjuangan, bersih hati dan jiwanya daripada pengaruh duniawi yang merosakkan, maka budaya gelojoh dan buruk dalam perlakuan politik tentunya dapat dihindarkan. Yang pastinya ini memerlukan perubahan radikal dari segi nilai dan sikap semua pihak baik parti-parti pemerintah mahu pun pembangkang dan juga badan-badan bukan-Kerajaan (NGO) yang terlibat secara langsung atau tidak dalam isu-isu kepolitikan.
Maka cabaran kepimpinan negara pada masa kini dan mendatang ialah sejauh mana kita berupaya mengamalkan budaya politik sihat, berprinsip dan bermaruah berlandaskan kepada keiklasan dan kejujuran untuk menegak kebenaran, menjunjung keadilan dan mempertahankan kesucian perjuangan.
Selain daripada itu, konsep pembangkangan dalam sistem demokrasi kita sekarang hendaklah diorientasikan semula agar pembangkang dapat berperanan menjadi “hati nurani” rakyat (the people’s conscience) menyeimbangkan kuasa pemerintah sementara golongan pemerintah pula mestilah menjadi pembela dan pelindung sebenar rakyat. Penyatuan dan penzahiran fungsi kedua-dua pihak ini sudah tentu akan mewujudkan demokrasi yang matang dan progresif.
No comments:
Post a Comment