Bukanlah niat saya untuk memperkecil-kecilkan jasa dan bakti Tun Mahathir pada Negara dan bangsa.Dalam aspek membangunkan bangsa secara materialistik Tun Mahathir telah membuat lompatan berganda. Memodenkan Negara bukan perkara kecil. Beliau mampu melakukannya. Dalam sesingkat masa pula.
Kejayaan beliau mencerminkan keupayaan merangka strategi-strategi yang sistematik,bersepadu dan menyeluruh. Beliau telah melibatkan semua pihak, baik didalam mahu pun di luar kerajaan.
Malangnya kalau kita sorot kembali kelibat perbuatan ‘confrontational’ dengan Tunku, nyata beliau telah menyuntik dose-dose negative dalam UMNO dan bangsa melayu. Secara berselindung tindakan beliau itu , merupakan ‘renewal’ kepada bangsanya. Konon.! Untuk itu beliau dilihat membuat revolusi mental secara berkesan tetapi sebenarnya beliau telah ‘menghaiwankan manusia’(dehumanize mankind).Penuh dengan kesesatan budaya.Sehingga pola dan corak masyarakat UMNO telah dijerumuskan kemudaratan. Sedar atau tidak dalam masa yang sama beliau adalah ‘Tok Guru’ yang menanam sikap ‘kurang ajar’ kedalam budaya orang melayu yang begitu murni sebelumnya.
Persaingan materialistik yang tidak disimponikan dengan kekebalan rohani dan spiritual telah menzahirkan ahli UMNO yang rakus,tamak dan haloba tanpa sempadan. Budaya ini berkembang semasa era Tun Mahathir. Ia seolah tidak dapat dikawal lagi.
Saya ingin mengajak saudara-saudara sekalian mengimbau kembali rentetan nasib yang menimpa Tunku Abdul rahman, Tun Husein Onn dan Tun Abdullah Ahmad. Cuma masa dan cara sahaja berbeza. Sementara Tun Abdul Razak di S.O.S.kan oleh takdir. Beliau meninggal sebelum diapa-apakan. Kalau tidak mungkin lebih parah lagi.
Pada pendapat saya Tun Dr.Mahathir mengidap satu jenis penyakit “ I am right, you are wrong” yang membarah dalam darah dan nadi beliau. Tingkahlakunya, dulu kini dan sebelum mati saya labelkan sebagai “Cultural Imperalism” dalam bajunya tersendiri.
Ramai pemimpin yang berkaliber di tuba. Moral Tg. Razaliegh diracun. Nasib baik YBM Tg Razaliegh ada 9 nyawa macam bateri ‘eveready’. Masih lagi bernafas dalam politik walupun dalam lumpur. Musa Hitam bagaikan terpaksa meminum racun dan menamatkan riwayat politiknya sendiri. Pak Ghaffar lara membawa diri. Anwar Ibrahim sasau hingga hari ini. Pak Lah di ‘sayonara’ penuh keterpaksaan dengan ‘hina-dina’nya.
Dibawah ini ada dua surat dari dua pemimpin zaman. Iqrak lah. Cari makna yang tersurat dan tersirat. Siapa fitnah siapa? Ini lah contoh ‘Jigsaw’ politik bangsa melayu.(UMNO)
Mahathir Pelupa: Surat Mahathir Kepada Tunku- Menangguk Di Air Keruh.
Batu 6, Titi Gajah,
Alor Star,
17hb. Jun 1969
Y.T.M. Tunku,
Patek berasa dukachita kerana tujuan patek membuat kenyataan kepada akhbar telah di-salah faham oleh Y.T.M. Tunku. Sa-benar-nya tujuan patek sama-lah juga dengan tujuan Tunku, ia-itu untok menyelamatkan negara ini daripada bahaya yang menganchamkan-nya.
Pendapat-pendapat Tunku berasaskan kepada cherita-cherita yang di-bawa kepada telinga Tunku oleh orang-orang yang mengelilingi Tunku yang chuma suka mencherita kepada Tunku perkara2 yang mereka fikir Tunku suka atau patut dengar sahaja. Benarkan-lah patek bercherita berkenaan dengan keadaan, fikiran dan pendapat2 rakyat yang sa-benar-nya supaya Tunku dapat faham tujuan patek membuat kenyataan yang di-tegor itu.
Tunku biasa cherita kepada patek sendiri ia-itu Tunku mengelakkan rusohan dengan menahan hukum bunoh yang di-jatohkan kepada 11 orang subversif China. Sabenar-nya tindakan Tunku ini-lah yang mengakibatkan rusohan dan kematian yang berpuloh kali banyak yang terjadi semenjak 13 Mei.
Tunku selalu "bertolak-ansor," ia-itu memberi kepada orang2 China apa yang mereka tuntut. Punchak tolak-ansur ini ia-lah pembatalan hukum bunoh tadi. Pembatalan ini menimbulkan kemarahan yang besar oleh orang2 Melayu.
Orang2 China pula menganggap Tunku dan Kerajaan Perikatan sebagai pengechut dan lemah dan boleh di-tolak ke-sana ke-mari. Sebab itu orang2 China tidak takut lagi menolak Perikatan dan orang2 Melayu pula tidak ingin kepada Perikatan. Sebab itu orang2 China dan India membuat kurang ajar pada 12 Mei kepada orang Melayu. Kalau Tunku biasa di-ludah di-muka, di-maki dan di-tunjok kemaluan, boleh-lah Tunku faham perasaan orang Melayu.
Orang2 Melayu yang Tunku fikir tidak memberontak telah-pun menjadi gila dan mengamok sehingga mengorbankan nyawa mereka dan membunoh orang yang mereka benchi kerana Tunku terlangsong bagi muka. Tanggong-jawab tentang mati-nya orang2 ini, Islam dan kafir, terpaksa di-letak di-atas bahu pemimpin yang salah pendapat.
Patek mohon ma’af tetapi patek ingin sampaikan perasaan orang-orang Melayu kepada Y.T.M. Tunku. Sabenar-nya, orang2 Melayu sekarang, baik PAS baik Umno, betul2 benchi pada Tunku, terutama orang2 yang di-hina-kan oleh orang China dan yang kehilangan rumah-tangga, anak-pinak, saudara-mara kerana tolak ansur Tunku.
Mereka kata Tunku chuma ingin di-kenal-kan sebagai "The Happy Prime Minister" walau-pun ra’ayat menderita. Mereka tahu bahawa dalam keadaan dharurat-pun Tunku ashek bermain poker dengan kawan2 China Tunku. Budak2 polis mencherita yang Tunku mengguna-kan kenderaan dan eskot Polis untuk menchari kaki poker.
Sa-balek-nya pula orang2 China tidak ada sedikit-pun hormat kepada Tunku. Mereka berkata Tunku "naïve" dan tidak ada kaliber. Ada lagi yang mereka kata yang tak dapat patek sebut-kan. Kata2 itu datang dari semua golongan orang China, dari intelek sa-hinggga China becha.
Pada masa lewat2 ini lagi satu kesan burok telah timbul. Orang2 Melayu dalam Civil Servis, dari Perm. Sec. ka-bawah, pegawai2 tentera dan polis Melayu tidak ada lagi kepercayaan dan respect kepada Tunku. Patek tahu kebanyakan mereka sokong PAS dalam undi pos.
Pegawai Melayu dari Polis, tentera dan askar biasa maseh patoh kepada kerajaan oleh kerana arahan sekarang sesuai dengan kehendak mereka sendiri. Kalau Tunku membuat apa2 yang tidak di-ingini oleh mereka, patek perchaya mereka tidak akan menurut kata Tunku.
Patek tahu Tunku takut kominis mengambil kesempatan kalau timbul kekachauan dalam negeri. Patek lebih takut kalau kerajaan mula "lose control over the armed forces". Sa-kali ini terjadi, keadaan tidak akan puleh semula. Sampai bila-pun kerajaan civil mesti tundok kepada tentera. Tunku biasa jadi "Happy Prime Minister" tetapi orang yang akan turut ganti tak akan merasai "happiness" apa2.
Patek harap Y.T.M. Tunku jangan-lah menipu diri dengan berkata "satu hari mereka akan bershukor dengan perbuatan saya". Ta’akan yang sa-orang itu selalu betul dan yang banyak selalu salah. Patek ingin sampaikan kepada Tunku fikiran ra’ayat yang sa-benar, ia-itu masa telah lampau untuk Tunku bersara dari menjadi perdana menteri dan Ketua Umno.
Patek faham betul2 kuasa yang ada pada Tunku dan patek masih ingat nasib Aziz Ishak. Tapi patek tak akan jadi sa-orang yang bertanggong-jawab kalau patek tidak terangkan apa yang patek sebut-kan. Kalau di-penjara sa-kali-pun patek terpaksa kata apa yang patek telah kata-kan.
Patek di-beritahu ia-itu Tunku berkata patek Pakistani. Patek tidak perchaya kata2 orang kerana patek tahu Y.T.M. Tunku tidak akan berkata begitu. Patek-lah yang selalu mempertahan-kan Tunku apabila orang2 PAS kata yang Tunku anak Siam yang ta’ berhak memimpin orang Melayu. Jadi Tunku juga akan mempertahan-kan patek walau-pun maseh ada dua sudu darah Pakistani dalam tubuh badan patek.
Patek sa-kali lagi mengulangkan ia-itu kenyataan yang patek buat itu ia-lah menchegah kejadian yang akan menambah perasaan benchi orang2 Melayu terhadap kerajaan dan menggalak-kan orang2 China menjatohkan lagi maruah orang2 Melayu. Rusohan yang lebeh besar akan berlaku jika ini di-biarkan. Tentera sendiri tidak akan dapat di-kawal. Dan lagi kalau T.H. Tan dan dewan orang China boleh membuat kenyataan, kenapa ketua2 Umno tidak boleh?
Patek menulis surat ini dengan hati yang ikhlas dan harapan bahawa Y.T.M. Tunku akan bacha surat ini dengan sa-penoh-nya sendiri. Patek berdo’a ke-hadhrat Allah subhanahuwataala supaya di-buka hati Tunku untok menerima kenyataan yang sa-benar ini walau-pun pahit dan pedas.
Patek Yang Ikhlas,
(Dr. Mahather bin Muhammad)
Penjelasan TUNKU:
"Saya tidak sekali-kali mudah dihalau sebagai seekor anjing kurap" -YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.
"Setelah beliau menulis sepucuk surat kepada saya yang isi kandungannya penuh dengan fitnah dan mengutuk saya di atas kejadian-kejadian buruk yang telah berlaku dengan menuduh saya bertanggungjawab di atas kejadian-kejadian itu. Maka salinan-salinan surat itu telah disebarkan beribu-ribu naskhah supaya bukan sahaja ahli-ahli parti bangkit menentang saya, bahkan juga membuka peluang kapada orang-orang lain menentang saya.
Adakah tulisannya itu mendatangkan kebaikan kepada UMNO? TentuIah surat itu bertujuan bukan sahaja untuk menentang diri saya, bahkan juga bertujuan hendak memecah-belahkan seluruh UMNO dan juga Perikatan dengan cara memburukkan pemimpin-pemimpinnya. Beliau telah menunjukkan bahawa beliau menentang pimpinan UMNO pada keseluruhannya, dan bukan kepada pimpinan saya sahaja.
Apakah tujuan beliau selain daripada itu? Beliau telah menulis surat itu dengan hati yang penuh perasaan benci dan dendam, dan meletakkan di atas kepala saya tanggungjawab berlakunya peristiwa 13hb. Mei. Dengan memberi salinan-salinan surat kepada orang lain beliau berharap bahawa tulisannya itu akan menjahanamkan segala perkhidmatan saya seumur hidup untuk bangsa dan negara saya.
Tidaklah perlu saya mengkaji seluruh perkara yang mendukacitakan itu, tetapi saya suka mengingatkan beliau bahawa saya tidak sekali-kali mudah dihalau sebagai seekor anjing kurap. Saya akan membersihkan nama baik saya dengan secara terbuka supaya dapatlah orang-orang yang cuba hendak dikelirukan oleh Dr. Mahathir itu mengetahui perkara yang sebenar.
Jika saya didapati bersalah kerana mencari kekayaan diri sendiri semasa saya memegang jawatan Perdana Menteri, atau pun kerana melakukan perbuatan yang tidak amanah, atau telah melakukan perbuatan-perbuatan jenayah, atau pun didapati bersalah kerana lalai menjalankan kewajipan-kewajipan saya, maka dapatlah saya faham sebab-sebab kenapa timbulnya kemarahan terhadap saya. Walhal sebaliknya saya sentiasalah menaruh kesedaran yang sepenuhnya di atas kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab saya. Negara mempunyai Kerajaan yang baik, menikmati kedudukan ekonomi yang teguh dan makmur yang tidak dapat diatasi oleh mana-mana negara lain di dunia sebelah sini.
Tuduhan yang mengatakan bahawa kejadian yang berlaku setahun dahulu itulah yang telah menyebabkan tercetusnya kekacauan pada 13 Mei itu merupakan satu perbuatan yang tidak berasas dan jahat. Tuduhan yang lebih buruk lagi ialah yang mengatakan sayaIah yang bertanggungjawab di atas kehilangan jiwa manusia oleh sebab kekacauan itu.
Dr. Mahathir sedar bahawa sepanjang hidup saya, saya sentiasa sanggup berkorban untuk keamanan, kerana sudahlah cukup saya melihat kekejaman yang telah dilakukan semasa Perang Dunia Kedua, dan juga penderitaan yang telah ditanggung oleh rakyat negara ini disebabkan oleh kekejaman itu.
“Setelah mengetahui semua hal yang saya ceritakan di atas, bagaimanakah sampai hatinya menuduh saya bertanggungjawab di atas kehilangan jiwa manusia pada 13 Mei itu. Tuhan sahajalah yang amat mengetahui penderitaan saya di atas apa yang telah berlaku pada hari yang menyedihkan itu.
Jika orang sanggup mempercayai beliau dan apa yang telah beliau tulis di atas sekeping kertas dengan tidak mengenangkan segala bakti yang telah saya lakukan seumur hidup saya, maka biarlah mereka mencari seorang pemimpin yang lain, tetapi janganlah diapa-apakan pemimpin yang baru itu sebagaimana yang telah dilakukan ke atas diri saya.
Selain daripada melemparkan tuduhan-tuduhan yang berat ini, Dr. Mahathir telah menyatakan di dalam suratnya itu bahawa saya telah sibuk bermain poker dalam waktu berkurung dan tidak menjalankan kewajipan saya dalam masa krisis itu. lni nyatalah satu percubaan hendak menjatuhkan maruah saya di sisi orang-orang Melayu. Perbuatannya menuduh saya di dalam suratnya yang kejam, bahawa saya cuai semasa menjalankan kewajipan saya semasa kekacauan itu adalah satu tuduhan yang paling dusta.
Mereka yang telah melihat saya dalam televisyen pada tengah malam yang paling buruk semasa krisis itu berlaku iaitu dari 13 hingga 15 Mei dan sekali lagi pada 16 Mei, tentuIah dapat menimbangkan bahawa segala tuduhan-tuduhan itu tidaklah benar. Dr. Mahathir sendiri juga tentuIah sedar. Jadi kenapakah beliau sanggup membuat tuduhan yang begitu liar?
Didalam suratnya yang penuh dengan fitnah itu, Dr. Mahathir juga menyebut bahawa anggota-anggota pasukan keselamatan, polis dan kakitangan Melayu dalam perkhidmatan kerajaan benci terhadap diri saya. lni menunjukkan sejauh manakah dia sanggup menjalankan satu kempen yang penuh dengan perkara-perkara yang boleh menimbulkan benci dan curiga terhadap diri saya.
Saya telah ditanya, kalau Dr. Mahathir menang dalam pilihan raya, mungkinkah dia juga mengkritik saya, seperti yang terkandung dalam suratnya yang tersebar itu? lni satu soalan yang susah hendak saya jawab kerana saya tahu dari dahulu bahawa dia adalah bersama-sama di dalam kumpulan yang sebelah lagi di dalam UMNO, iaitu puak yang menggelarkan diri mereka “pelampau” atau “bijak pandai”.
Tetapi saya yakin bahawa kiranya Dr. Mahathir menumpukan masa yang lebih kepada kerja-kerja parti dan tidak menghabiskan masanya di dalam perniagaan membuat rumah di Kedah bersama-sama dengan syarikat yang bernama Federal Construction Company, sebuah syarikat yang dipunyai oleh orang-orang Cina dan dalam perniagaan-perniagaan yang lain, maka kemungkinannya untuk menang dalam pilihan raya itu adalah lebih besar.
Menurut maklumat yang diterima, beliaulah yang telah mengambil peranan yang penting untuk menolong mendapatkan kelulusan Kerajaan supaya tidak kurang daripada 238 lot tanah Simpanan Melayu dikeluarkan dari simpanan itu bagi maksud projek perumahan yang tersebut.
Mengenai dengan suratnya itu, saya telah melaporkan kepada polis terhadap Dr. Mahathir untuk disiasat dan diambil tindakan, kerana saya merasa yakin bahawa sekiranya saya tidak berbuat begitu, maka orang-orang akan memikirkan bahawa apa yang beliau katakan terhadap diri saya itu memang benar.
Pada mulanya saya bercadang hendak mendakwa Dr. Mahathir dibawah undang-undang jenayah kerana menuntut malu, dan tidak mengambil tindakan di atasnya di bawah Undang-undang Darurat atau Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri yang memang boleh dilakukan, bahkan inilah nasihat yang telah saya terima. Tetapi saya Iebih suka mengambil tindakan menurut undang-undang biasa negara supaya saya tidak dituduh mengambil tindakan dengan sewenang-wenangnya. Pada mulanya inilah tindakan yang akan saya ambil, tetapi selepas saya menimbangnya dengan Iebih lanjut, saya rasa dia tidak Iayak mendapat perhatian yang begitu penting. Dengan menghuraikan segala pendapat saya dalam buku ini, saya rasa tujuan saya itu akan lebih berkesan.
Saya telah mendapat penghormatan yang sebegitu tinggi di dalam dan juga luar negara, dan ini merupakan satu hadiah yang negara ini telah berikan kepada saya dan saya amatlah menghargai penghormatan ini. Dengan haI-hal yang demikian saya tidak sekali-kali akan menamatkan perkhidmatan saya kepada negara semata-mata dengan sebab adanya fitnah mengenai kelakuan saya. Saya mesti terlebih dahulu membersihkan nama baik saya untuk mengembalikan ketenangan hati saya.
(Petikan dari buku 13 Mei - Sebelum dan Selepas karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969)
Orang yang jauhari mentafsirkan politik sebagai ‘the art of possible’. Inilah yang menyebabkan moral dan politik sukar diadunkan secara harmonis.’The art of possible’ maknanya boleh buat apa sahaja. Makna politik yang istemewa ialah kelicikan, muslihat dan tipu muslihat.
Moral sukar dimasukkan dalam ‘Jig-Saw’ politik.Moral dicerminkan oleh akhlak. Kemudian ditafsirkan sebagai budi pekerti.Cara kelakuan yang diasaskan atau diukur dari segi ketentuan baik buruk tentang sesuatu perbuatan. Mempunyai nilai-nilai yang mulia seperti keikhlasan, kejujuran,peramah,bertanggungjawab, berani serta lain-lain sifat mulia dan tidak disalahgunakan.
‘Basic value’ gagal diterjemahkan oleh Tun Mahathir Mohamad.Bila Tun Mahathir menyeru ahli-ahli UMNO untuk kembali kearah nilai-nilai murni, ia menjadi bahan ketawa , momokan dan ejekan pihak awam. Bagaimana mungkin si ibu ketam mengajar anaknya berjalan lurus.
No comments:
Post a Comment