Dibawah ini adalah nama-nama besar di alam duniawi. Mereka menyerlah dipentas dan di padang tersendiri. Mereka ini ada factor ‘Wow’ tersendiri.
CHIN PENG , SITI NURHALIZA, ASHAARI MUHAMMAD, TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ, BECHAM, TAN SRI P.RAMLEE.
Kenapa saya kumpulkan nama-nama di atas di dalam satu himpunan? Yang ‘bekeng’ akan berubah wajah.Pasti marah dan merah menyala apabila nama seorang alim, di kumpulkan sekali dengan artis, apatah lagi dengan komunis dan lebih teruk lagi dengan Abuya Darul Arqam. Tak kena lagu makan penampar ‘FOC’. (Free of charge)
Tujuan saya ialah untuk menyatakan bahawa mereka semua adalah manusia yang BERPENGARUH..
Pengaruh yang menyerlah datang dari dirinya berhubung dengan seseorang dan hubungan itu memberi impak yang besar. Menjadi idola manusia sezaman. Saya tidak menafikan ada pengaruh positif, ada yang pengaruh negatif. Moralnya; Jika kita mahu perlakuan dan perkataan kita memberi impak kepada orang lain, ia mesti datang dengan pengaruh.
Soal PENGARUH inilah yang sukar untuk dilihat menyerlah dalam kepimpinan UMNO dalam konteks kehidupan yang luas ini.
Najib saya tidak senaraikan dalam barisan ini kerana kekuatan dan pengaruh beliau diasaskan kepada kuasa yang ada dan dipilih melalui beberapa kerat manusia yang diizinkan daripada segala yang berdaftar. Apatah lagi UMNO yang dilingkari rasuah politik yang mengila dan tidak terkawal.
Pendekkan hujah, mari saya bentangkan satu proposal; kita ‘turun- padangkan’ orang-orang ini,( P.Ramlee dikecualikan. Please..) yakinlah ribuan dan jutaan manusia akan hadir untuk melihat wajah dan mendengar suara mereka. Tanpa diupah macam UMNO turun padang. Tidak keterlaluan, semua bangsa akan meluru kedepan.
Nik Aziz saya senaraikan berasaskan beliau adalah katalis kekuatan PAS khususnya di Kelantan. Walaupun sudah bertahun-tahun menjadi MB tugas asalnya sebagai da’i dan pendakwah diteruskan sampai sekarang. Ketika ditanya, bagaimanakah ayah beliau mendidiknya, Tuan Guru memberitahu bahawa mancis api sebatang pun, dibelah dua untuk mengajar anak berjimat cermat.
Inilah watak yang saya kesan pada peribadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Rakyat menyokongnya kerana terpesona dengan keperibadiannya dan iltizam yang dibawanya bersama.Tidak hairan, beliau disegani oleh kawan dan lawan. Anda boleh berbalas hujah dengan berdebat dan berpidato, tetapi tiada siapa yang mampu menewaskan akhlaq dan pengaruhnya.
Tanpa perlu temu janji, seorang pelajar lepasan sekolah boleh bertemu dengannya bila-bila masa. Tokoh yang berpengaruh, menjadikan setiap manusia yang berhubung dengannya, terasa istimewa. Beliau melakukan MODELLING, MOTIVATING, MENTORING dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjaya menghasilkan MULTIPLYING impak. Inilah watak turun padang sejati. Faktor ‘wow’ ada pada beliau.
Begitu juga tentang ciri-ciri kepimpinan Ashaari Muhammad . Bukan maksud saya mahu menganalisa Ashaari Muhammad dan gerakannya .Saya Cuma ingin membawa kepada perspektif sikap beliau. Impaknya sangat mempengaruhi pengikut.
Antara kisah yang menarik tentang Abuya ialah apabila Ashaari Muhammad berceramah, ia akan dirakam dengan video. Selepas ceramah, Ashaari Muhammad dan rakan-rakannya akan menonton video tersebut yang banyak memfokuskan kepada penonton. Mata-mata yang terbeliak, mulut yang terlopong, adalah tanda-tanda yang menunjukkan seseorang itu berpotensi untuk diajak menjadi pengikut. Individu yang sedemikian rupa akan disiasat latar belakangnya, dan dicari alamatnya.
Lalu Ashaari Muhammad dan pengikutnya akan ke rumah lelaki tersebut. Bayangkan sahaja betapa berbesar hatinya seorang yang sedang sarat dengan kekaguman diziarahi oleh tokoh yang dikaguminya. Ashaari Muhammad akan bertanya khabar, dan kemudian meminta izin untuk berehat seketika dengan tidur di atas lantai beralaskan bantal sofa lelaki tersebut.Cair hati tuan rumah. Lepas tu, minta apa pun dari tuan ruamah Insya Allah akan diberi.Jika nyamuk gigit pun, Ashaari Muhammad hanya meniup dan tidak menamparnya. Ketika makan bertalam, Ashaari Muhammad akan mengambil tulang lebihan mereka yang makan setalam dengannya, dan akan dijamahnya sisa-sisa daging yang masih terlekat sehingga habis licin.
Gaya kepimpinan begini, sangat mempengaruhi. Apa yang beliau lakukan? Beliau berhubung dengan pengikutnya. Bukan hanya hubungan logik akal, tetapi hubungan hati, hubungan emosi.
Jika perjuangan yang batil boleh begitu berkesan hasil pengaruh, malang sekali perjuangan yang benar hanya kalah kerana sentiasa bergantung kepada kuasa, Itulah selemah-lemah kepimpinan.
Jangan turun padang kalau ianya boleh menjadi liabiliti. Kalau demikian halnya gerenti akhirnya jadi Jembalang.
Jangan marah, jika artis lebih popular. Lakonan Tan Sri P.Ramlee sehingga sekarang pun masih diminati. Anak yang baru faham bahasa pun ketawa berdekah-dekah. Itulah IMPAKnya.
Manusia dan kepimpinan …. adalah soal PENGARUH..
No comments:
Post a Comment