Monday, 5 October 2009

MERDEKA Di N31







Para pemimpin tidak harus dibuai lena oleh kemewahan singgahsana dan takhta kekuasaan sehingga menjadikan mereka lupa diri dan takbur.

Kisah tragik Qarun dengan segunung hartanya dan Fir’aun dengan kemilauan takhtanya seperti yang dinukilkan dalam Al-Quran sudah seharusnya cukup mengajar kita erti kesederhanaan hidup, kesyukuran diri, kerendahan hati, ketinggian akal-budi dan kebesaran jiwa.

Kita juga harus beringat dengan kisah kemusnahan kaum Lut yang rosak akhlak dan hancur fitrah kemanusiaan mereka dan kaum Thamud yang angkuh dengan kekayaan serta kekuasaan mereka. Sejarah silam juga telah banyak mempamerkan suri tauladan tetapi manusia dengan sifatnya yang sering pelupa itu jarang-jarang sekali mahu belajar daripadanya.

Semakin mewahnya masyarakat kita sudah seharusnya kita menjadi semakin berwaspada dan beringat-ingat tentang pengajaran daripada sejarah hitam bangsa-bangsa dahulukala agar sejarah ini tidak akan berulang kembali menimpa kita.


Maka cabaran kepimpinan negara pada masa kini dan zaman-zaman mendatang ialah sejauh mana kita berupaya mengamalkan budaya politik sihat, berprinsip dan bermaruah berlandaskan kepada keiklasan dan kejujuran untuk menegak kebenaran, menjunjung keadilan dan mempertahankan kesucian perjuangan.


Nabi s.a.w bersabda kepada Abu Zar al-Ghifari :

“Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim).

Hanya orang yang bodoh sahaja merantai dirinya sendiri

BUANASUARA menyeru kepada para penyokong tegar parti politik yang telah tertutup hati dan minda mereka; dari kalangan Umat Islam yang sayangkan Islam lebih daripada parti politik supaya berfikiran terbuka untuk menerima pendapat orang lain dengan saksama.

No comments:

Post a Comment