Thursday 16 April 2009

Dari Kacamata Tg Razaliegh




Tengku razaleigh’s speech at the EGH of the Umno gua musang division, April 2008 (excerpt)
…Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, dan menteri-menteri dari Umno tidak memegang jawatan itu, sekiranya mereka tidak terlebih dahulu dipilih dari perwakilan Umno sebagai presiden dan timbalan presiden dan oleh rakyat sebagai ahli parlimen. Kalau pm yang juga presiden umno menggubal dan melaksanakan dasar yang boleh menjahanamkan Bahasa Melayu dan agama Islam, maka mereka mesti ditegur
dan didisiplinkan oleh parti. Umno perlu mewujudkan mekanisma yang sesuai dan cekap
Untuk melaksakan sistem parti mengawal kerajaan ini.
Kedua, dasar dan visi Umno hendaklah merentas sempadan kaum dan tidak dilihat sebagai parti untuk dan bagi pihak orang Melayu sahaja. Dasar dan visi Umno yang asal, iaitu yang berasaskan perjuangan alif ba ta, seperti yang saya sebutkan tadi tetap dipertahankan. Tetapi dalam soal untuk memajukan hidup, ekonomi, social, pendidikan, dan sebagainya untuk rakyat, Umno hendaklah memprojekkan dirinya sebagai parti untuk kepentingan semua rakyat, tidak kira kaum. Kita mahu Umno menjadi parti
‘supra-ethnic’, parti nasional yang adil kepada rakyat tanpa mengira kaum tetapi tetap mempertahankan visi tradisionalnya, iaitu mempertahankan tanah air daripada penjajahan politik, ekonomi, ideologi, dan budaya orang asing atau kuasa asing. Mempertahankan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan Negara, yang faedahnya untuk Negara, dan bukan untuk mana-mana kaum, dan mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan.
Dasar dan perjuangan parti Umno ini tidak menjejaskan hak dan kaum lain. Imej Umno selama beberapa tahun kebelakangan ini dapat dibahagikan kepada tiga jenis. Pertama, imejnya kepada orang Melayu ialah Umno tidak lagi memperjuangkan hak-hak yang menjadi warisan bangsa Melayu sejak dahulu kala. Umno dilihat sebagai parti yang tidak mempedulikan bahasa Melayu, budaya Melayu dan ekonomi rakyat yang miskin. Ini memarahkan orang Melayu, dan disamping ini, orang Melayu mula risau dan khuatir melihat kurangnya komitmen Umno untuk mempertahankan martabat dan kedaulatan institusi Raja-raja Melayu. Institusi Raja-raja Melayu adalah institusi tertua di tanah Melayu dengan usianya melebihi tujuh ratus tahun. Institusi inilah yang menjadi penyelamat tamadun Melayu, walaupun kita dicabar oleh tiga kuasa Barat, iaitu Portugis, Belanda, dan British. Negeri Melayu dan kedaulatan Melayu kekel sampai sekarang kerana adanya institusi ini sebagai penyelamat bangsa.
Imej kedua ialah Umno di mata orang bukan Melayu, iaitu mereka menganggap Umno adalah parti untuk kepentingan kaum lain. Entahlah apa sebabnya.
Imej Umno yang ketiga ialah parti yang menggalakkan rasuah politics atau parti orang kaya di atas, atau parti orang miskin di bawah. Parti yang korap, parti yang berkeliaran dengan buaya-buaya darat dan yu-yu laut yang tidak segan silu menyapu dan menelan segala projek kerajaan dan hak rakyat miskin, tidak kira kaum.
Imej ini dibenci oleh semua kaum, tidak kira Melayu atau bukan Melayu. Umno harus mengubah atau membersihkan ketiga-tiga imej buruk itu. Umno mesti dipercayai bukan sahaja orang Melayu tetapi juga oleh orang bukan Melayu.
Dalam pilihan raya umum ke-12, kita lihat ada orang dari kaum India dan Cina, misainya, mengibarkan bendera PAS, dan mereka mengundi calon PAS dia kawasan kuat Umno. Mengapa? Adakah mereka telah dipukau atau di Islamkan oleh orang PAS? Mereka berbuat demikian kerana mereka percaya bahawa PAS adalah berdasarkan prinsip Islam yang lebih adil daripada Umno terhadap kaum bukan Islam. Mereka berkata orang PAS takut pada tuhan, maka mereka takut untuk berkata bohong atau melakukan dosa kepada makhluk Allah, tidak kira bangsa dan agama. Mereka berkata tok guru Nik Aziz jauh lebih baik, bersih, dan amanah daripada kebanyakan pemimpin Umno Kelantan. Inilah cabaran yang dihadapi umno hari ini. Umno terpaksa menjadi parti yang boleh dipercayai oleh semua kaum. Umno terpaksa menyaingi parti baharu seperti PKR yang dilihat oleh semua kaum, termasuk generasi baru orang Melayu sebagai parti yang dasarnya ialah keadilan terhadap semua rakyat berdasarkan keadaan dan keperluan asas mereka.
Ketiga, perangai, budaya, akhlak, dan moral orang Umno perlu diadapkan. Kita perhatikan pada kempen pilihan raya umum
Ke-12, kelakuan beberapa calon Umno tidak beradap. Mereka sombong, bercakap besar, riak, dan suka mendabik-dabik. Seorang calon parlimen Umno, memberitahu media bahawa matlamatnya adalah untuk memastikan lawan-lawannya hilang deposit.calon ini mengalami kekalahan teruk, diajar oleh pengundi melayu. Di Kelantan, kita mendengar bagaimana seorang calon parlimen yang dekat dengan kuasa atasan di Kuala Lumpur memaki hamun dan menggunakan kata-kata biadap terhadap PAS… bahkan seluruh jentera Umno digerakkan untuk melancarkan semacam perang salib terhadap PAS, gayanya seperti perang yang dilancarkan oleh presiden bush terhadap Negara Islam. Saya paham bahawa PAS adalah parti lawan Umno. Tetapi itu bukanlah caranya Orang Melayu Islam cuba mengalahkan pihak lawan sesama bangsa dan sesama agama. Kita adalah bangsa yang berbudaya, beragama Islam, beradab. Orang Melayu, bahkan orang bukan Melayu dan bukan Islam pun meluat dan menyampah dengan kelakuan fa’il dan kelakuan sombong bongkak itu. Kita tidak diajarkan cara bagaimana hendak memikat hati parti lawan. Kita seolah-olah menggunakan budaya dan taktik samseng, dan akhirnya kita kalah teruk, malah lebih teruk dari tahun 2004. Bukan kerana dasar Umno tidak baik, tetapi kerana orang Umno itu yang tidak baik, dan merekalah yang merosakkan imej parti.
Saya rasa perlakuan yang biadap itu timbul daripada beberapa sebab. Antaranya dapat kita sebut; satu, kerana kita terlalu yakin pada kekuatan parti, dan tidak nampak apakah kelemahannya? Lalu, orang seperti itu berasa terlalu megah, berani, dan bercakap besar. Mereka memberitahu pengundi, ‘aku akan menjadi menteri besar’… ekonomi pasaran dan ekonomi kapitalisma sudah menjadi alat politik Umno untuk memperkayakan orang-orang tertentu dalam Umno, untuk kepentingan kepimpinan, dan bukan untuk kepentingan rakyat, anggota akar umbi Umno,jiwa dan roh melayu. Orang Umno mula digantikan dengan roh beruk. Wang menjadi alat permainan politik dan kuasa dalam Umno.jadi untuk menyelamatkan Umno, kita harus buang segala anggota Umno di atas itu yang jahat dan korap. Yang tidak berbudaya dan tidak berakhlak tinggi, yang tidak bijaksana. Ada orang jadi geliga otaknya, lulusan oxford,Harvard dan sebagainya. Tetapi tidak bijak, tidak pandai, tidak cerdik budaya. Orang ini tidak layak untuk diangkat oleh Umno untuk menjadi pemimpin mereka. Mengapa? Kerana mereka tidak mempunyai roh atau semangat melayu yang cukup dalam dadanya. Tidak bijak, tidak pandai bercakap, tidak pandai berhujah dengan rakyat. Mereka mungkin layak menjadi penyelidik akademik di universiti-universiti tetapi tidak layak menjadi pemimpin bangsa melayu, yang mempunyai nilai-nilai tersendiri, yang perlu difahami oleh sesiapa yang hendak menjadi pemimpin orang melayu.

No comments:

Post a Comment