Thursday, 2 April 2009

SURAT TERBUKA UNTUK NAKHODA BARU UMNO

1.Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, UMNO Bahagian Tanah Merah boleh disifatkan sebagai satu Bahagian yang terbabit atau menjadi pangkalan kepada “human trafficking”(jual-beli manusia).Seolah-olah tidak ada pematuhan terhadap akta perlindungan jual-beli manusia.
2.Tidak ada sesiapa pun berhasrat hendak menafikan hak seseorang ahli apabila pendaftarannya telah diterima dan disahkan serta mematuhi kepada kehendak Perlembagaan parti. Cuma jangan kita jadikan fasa-fasa dalam perlembagaan parti seolah sarang labah.Memerangkap ‘lalat dan nyamuk’ tetapi ‘burung dan helang’ dapat melepasinya tanpa sekatan.
3.Pengurusan dan piawai terhadap SOP, wajib di audit agar standard keputusan yang dibuat ada kualiti. Ahli-ahli hantu yang menghantui Bahagian Tanah Merah ialah ahli-ahli yang dikesan tidak dikenali oleh cawangan-cawangan.Kesahan keahlian mereka meragukan.Saya kira dari segi moral dan kewarasan untuk mencari kebenaran wajib diberi keutamaan.Pembuktian mestilah merentasi sempadan keraguan yang munasabah.Barulah ada penyelesaian dan jalan keluar dari kemelut yang boleh melemahkan parti.
4.Hari ini kita pula disergah dengan pemilikan idealisme untuk menyucikan UMNO. Adakah kita masih mahu berselimut untuk tidak menyakitkan hati sesiapa lalu diam membiarkan kemungkaran-kemungkaran politik individualistik berterusan tanpa noktah. Ini adalah "survival" bangsa dan ini hakikat yang memerlukan kita untuk mempertahankan hak dengan harapan kekuatan boleh dibina semula.
5.Fenomena memberi jawapan mudah sudah menular dari peringkat atas.Kononnya seluruh bahagian dalam Negara mempunyai masalah yg sama.Ini satu lagi ‘phenomena of escapism’.Atau mungkin menganggap semua orang bodoh dan bebal. Kalau sindrom ini berterusan Umno mungkin sudah mencukupkan syaratnya untuk tumbang.
6.kita boleh membohongi semua orang dalam satu –satu masa tetapi tidak semua orang dalam setiap masa.
7.Jangan sapu dan simpan sampah dibawah permaidani dijadikan budaya kerja dalam UMNO dan jika mahu bersihkan lantai di bawah bersihkan sawang di atasnya terlebih dahulu.
8.Saya tidak heran pada jawatan, tidak gila kerusi,tetapi saya akan bangun dengan segala kekuatan menentang kebatilan dan kemungkaran politik yang akan menghancurkan parti.
9.Bukan cakap tidak serupa bikin, tidak hidup ‘double standard’, saya bukan pemain politik yang berselindung disebalik jari kelingking. Siapa pun saya tidak peduli. Jawatan bukan matlamat, tidak dipilih jadi Ketua pun tidak menjadi masalah, tidak ada agenda yang tersembunyi, tidak simpan tengkorak dalam almari.
10.Saya berani, berani buat, berani tanggung, tangan berani cincang, bahu berani pikul, tidak akan cuba mengelakkan diri dengan permasalahan yang melanda parti. Maruah dan harga diri. Diri tidak boleh dijual beli bukan hamba abdi.
Allah cinta kepada kebenaran . Hanya kebenaran dan keberanian bercakap benar saja yang dapat menyelamatkan bangsa Melayu yang sudah 51 tahun merdeka.

" Kita mesti berkata benar sekalipun kebenaran itu pahit ." - Hadith Rasulullah S.A.W. Mana ada ubat yang manis? Ubat cacing kanak-kanak sahaja yang manis rasanya.

11.Jika kita mahu bangsa kita dihormati tidak perlu buat perangai macam wali. Cukup dengan ketepikan mereka yang dayus dan rakus, yang menukar patriotisme menjadi perutisme, yang menjadikan ‘rules of law ‘kepada ‘law of the jungle’ akhirnya UMNO menjadi lesu, berkubur bisu.
12.Pengikut talam dua muka dan sokong membawa rebah perlu dihapuskan untuk survival anak cucu kita. Jangan cakap pasal ketuanan Melayu kalau takut mati dalam gelanggang dan bersikap hipokrit.tutup mata, tutup mulut, tutup telinga.Semua orang kita tipu.
13.Dayus mengutamakan perut dari berjiwa patriot membuat siapa saja pemimpin yang cintakan kebenaran menjadi resah gelisah, menjadikan kita tidak kenal yang mana satu kawan, yang mana satu musuh, hingga timbul peribahasa musuh dalam selimut , musang berbulu ayam . Itu yang memeningkan kepala . Akhirnya kita berperang sesama sendiri bila ada pemimpin bertukar menjadi iblis.
14.Kejujuran dan amanah dalam kepimpinan yang akan menjadikan parti kuat dan disegani diketepikan. Bukan Melayu hanya takut pada Melayu yang berjuang dan sanggup tidak makan dan tidak tidur, bukan yang hendak hidup, untuk hidup.Ingatlah, tidak akan bergerak sebiji debu pun tanpa keizinan Allah.
15.Air yang keruh di hulu masakan boleh jernih di hilir . Ikan busuk kepala busuklah badan. Bermula dari atas, kita perlu berani ambil tindakan jika mahu dihormati. Pemimpin mesti berani cabut gigi busuk dalam mulut sendiri.
16.Akibat menyimpan gigi busuk makanan yang masuk ke dalam perut akan menimbulkan barah dalam UMNO yang ibarat retak menunggu belah.Kepimpinan peringkat atas perlu memantau pegawai-pegawai di Ibu Pejabat.Mereka dibayar upah untuk mengurus dan mentadbir UMNO secara professional. Gaji tentunya lumayan. Berbanding dengan ganjaran yang diterima ahli-ahli parti di medan.Siang bermandikan peluh dan debu, malam bertongkat mata dan berembun sampai pagi. Mereka sanggup berdepan dengan musuh parti.Tanpa syarat. Bukan gaji yang lumayan dipertaruhkan tapi nyawa, dan harta yang dah tidak seberapa.
17.Kenapa pula yang mendapat upah lumayan dan duduk dikerusi empuk dalam bilik berhawa dingin di Ibu Pejabat tergamak melindungi para ‘penjenayah dan penyagak’ UMNO.Insaflah. .Biar musuh yang memusnahkan UMNO bukan para pegawai di PWTC.
Allahyarham Pak Hamka; yang menjadikan kita berbeza adalah; "Dua puluh ekor kerbau pedati, yang sama gemuknya, sama kuatnya, sama pula kepandaiannya menghela pedati, tentu harganya pun tidak pula berlebih berkurang. Tetapi 20 orang manusia yang sama tingginya, sama kuatnya, belum tentu sama "harganya". Sebab bagi kerbau tubuhnya yang berharga. Bagi manusia peribadinya.
Berilmu sahaja, walaupun bagaimana mahirnya dalam suatu jurusan, belum tentu berharga, belum tentu akan beroleh kejayaan dalam hidup, kalau sekiranya bahan peribadi yang lain tidak lengkap atau tidak kuat, terutama budi dan akhlak!"Prof. Dr. Hamka Peribadi
Memetik kata-kata ulama besar Sheikh Abdullah Fahim --- “Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan niat baik sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi siapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina.” (Mokhtar Petah – Sheikh Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara 31 Ogos, 1957. Pustaka Antara 1997.)
18.Saya hanya bergantung hidup kepada Allah. Saya tidak terhutang hidup dan terhutang budi pada pemimpin yang tidak bermoral.Apatah lagi bersengkongkong dengan mereka. .Saya berjuang untuk parti bukan menggunakan parti sebagai platform untuk berniaga. Saya hanya takut pada Allah dan akan sentiasa mengamalkan cara hidup hablum minallah dan hablum minannas.
19.Saya tidak berwang tetapi saya adalah pejuang. Biar terbuang tapi terbilang. Hidup biar berjasa.

No comments:

Post a Comment