Thursday, 18 June 2009
1Melayu,1Malaysia
Bangsa dan generasi kita sekarang, sangat-sangat menantikan tampilnya seorang pemimpin yang jujur serta penuh beriman Kepada Allah dan Rasulnya untuk menakhoda bangsa menuju satu cita-cita ia itu ingin hidup dalam kesejahteraan.
Agaknya itulah yang Datuk Asri Hj Muda maksudkan apabila beliau berkata, “Kita mimpikan perpaduan umat Islam khususnya bangsa Melayu…” Ungkapan ini dilafazkan setelah beliau menyaksikan ranapnya umat Melayu dalam peristiwa 13 May 1969.Nasib bangsanya bagaikan telor di hujung tanduk.
Kini Hj Hadi pula mengulangi konsep penyatuan melalui ‘Kerajaan Perpaduan’. Asasnya sama. Kebetulan pula kedua-duanya adalah dari parti PAS. Asri Hj Muda bekas YDP PAS sementara Hadi adalah presiden PAS.
Namun demikian ada dua perbezaan dari perspektif masa. Asri menyedari perkara ini setelah peristiwa malang 13 May 1969. Hj Hadi menginsafi sebelum peristiwa seumpama itu berulang. Tentunya akan merugikan rakyat. Mungkin lebih dasyat lagi.
Kalau perpaduan umat Melayu tidak diproses dari sekarang UMNO akan hilang
kuasa PAS berputih mata. Tiada pihak yang untung kecuali kumpulan yang mahu Melayu berpecah.
Tidak ada sesiapa akan menafikan bahawa ujudnya parti UMNO dan PAS adalah bertujuan membina kesatuan dan perpaduan. Ditinjau dari sudut keperluan nasional dan kekuatan umat Islam, penyatuan idea kedua-dua parti siasah ini adalah satu perkara yang wajib dikupas dengan hati yang murni.
Atas kesedaran inilah juga,mengapa kita dengan rasa rendah diri serta penuh hormat untuk turut serta dalam perbincangan yang sangat penting ini. Walaupun kita kira,bahawa kemampuan kita dalam hal ini sangat terhad.
Kita turut serta atas kesedaran dan mengambilkira bahawa persatuan tujuan juga memerlukan persatuan pendapat.Walau pun dalam berbagai cara.
Dalam konteks politik di Negara kita tentunya UMNO-PAS merupakan dua parti yang mewakili bangsa Melayu. Yang suatu waktu dahulu adalah satu.
Ada beberapa keperluan berkaitan dalam persoalan tersebut.
Ditinjau dari sudut keperluan nasional dan kekuatan umat Islam, penyatuan pendekatan kedua-dua parti siasah yang berasal daripada satu ini merupakan satu perkara yang mesti diujudkan. Kalau kita inginkan umat Islam di Negara ini sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi cabaran-cabaran zaman yang beranika warna.
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu semasa ditubuhkan ia didokong sepenuhnya oleh majority muslimin. Tegasnya ia bukan sekadar menentang Malayan Union semata-mata tetapi membangun dan meneguhkan perpaduan Agama, Bangsa dan Negara.
Kemudia PAS ditubuhkan dengan iltizam Islam’nya’dari tulang rusuk UMNO. Tujuan sama. Kedua-duanya berjuang untuk membangun-majukan bangsa dan Negara. Untuk mencapai kehidupan yang sejahtera melalui acuan masing-masing.
Kita memohon pemimpin dari kedua-dua parti tersebut secara jujur melepaskan kepentingan sesuatu pihak atau peribadi demi keteguhan umat seluruhnya.
Apa guna kesenangan, kekayaan, kemuliaan, kalau kaum dan bangsa kita Melayu terhina.Malah kita akan turut sama terhina Marilah sama-sama kita mengingatkan orang Melayu supaya setiap tindak hendaklah memikirkan kepentingan bangsa Melayu bukan untuk mencari nama.
Semenanjung Tanah Melayu adalah bahagian bumi yang dijadikan tuhan untuk bangsa Melayu tetapi nasib Melayu malang dan celaka kalau buminya tergadai kesan daripada keghairahan politik yang melalut-lalut
Bagi menghadapi tragedi-tragedi yang sedang atau akan menimpa masyarakat bangsa Melayu dan umat Islam di Negara ini, kedua-dua parti siasah yang menjadi induk kepada orang-orang melayu ini wajib bersatu tenaga.
Kita kira semua pihak, termasuk pemimpin tertinggi UMNO dan PAS bersetuju dengan kita bahawa yang hendak dibangunkan ialah umat yang sejahtera. Umat yang mempunyai peradaban dan kebudayaan yang murni. Peradaban dan kebudayaan murni dengan cara yang murni untuk mencapai kepelbagaian hidup yang murni. Melalui petunjuk yang murni; murni cara berfikir dan bekerja,murni hatibudi,murni sikap dan tujuan hidup.
Kemurnian akan memacu kita semua menjadi umat yang sejahtera. Umat yang cinta mencintai. Cinta dan dicintai oleh semua insan.Cinta dan dicintai Allah. Itulah umat yang diredhai.Semua pasti setuju kerana kita adalah orang-orang yang mengaku beriman kepada Allah.
Kita ingin berbesar hati dengan UMNO dan PAS kembali kepada cita-cita yang sama. Cita-cita membangun bangsa dan Negara melalui jalan yang diredhai Allah.
Kita semua hendaklah meninggalkan fahaman sempit. Leburkan kepentingan-kepentingan diri dan kabilah. Satukan tenaga dan kekuatan.Bersatu dalam satu organisasi yang kukuh dan gagah.
Tepuk sudah bersambut. Mulai dari sekarang, rancanglah strategi melalui cara, teknik dan objektif yang jelas. Disamping bercakap kita bekerja.
Kita alu-alukan pemimpin untuk mengaturkan satu keharmonian umat yang sejak lama kita impikan.Kita impikan cita-cita satu masyarakat bangsa yang bermutu tinggi.Tinggi dalam peradaban dan budaya.Tinggi dengan kekuatan dan budi pekerti. Marilah kita beri sokongan yang tidak berbelahbagi kepda anjakan satu idealisma dan strategi yang jelas untuk penyatuan itu. Semoga dapat membina masyarakat bangsa yang bersatu padu.masyarakat bangsa yang sejahtera dalam Negara sentosa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment