Tuesday, 2 June 2009
Surat Terbuka Kepada orang Melayu
Selepas 50 tahun bebas daripada penjajah di mana kedudukan kita.
(kata-kata ini bukan aku punya. Aku setuju dan kamu pun patut setuju.)
BACALAH!
WAHAI bangsaku, lebih lima puluh tahun sudah usia kemerdekaan tanah air kita. Waktu yang sebenarnya amat singkat dalam sejarah pembinaan negara bangsa. Namun demikian terlalu banyak yang boleh dilakukan dalam masa lima dekad jika kita bertekad sama dan sekiranya kita sederap dan selangkah untuk menentukan penanda aras kecemerlangan baru. Bak kata orang hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Kita tidak harus lupa bahawa 50 tahun kebelakangan ini hanyalah sebahagian daripada sejarah bangsa Melayu yang panjang dan penuh peristiwa. Tanyakan kepada yang dianggap pakar, masing-masing mempunyai cerita dan tafsiran mengenai sejarah bangsa Melayu. Mungkin usia bangsa Melayu ribuan tahun, mungkin juga ratusan tahun.
Mungkin sejarah sebenar bermula daripada Kerajaan Melayu Melaka, mungkin lebih awal. Bagaimanapun, satu hal dipersetujui bersama bahawa dengan tumbangnya Empayar Melaka pada 1511, maka orang Melayu berada dalam belenggu penjajahan selama 446 tahun.
Memang mudah menyalahkan penjajah kerana kelemahan bangsa Melayu. Mungkin benar merekalah yang mendefinisikan ‘kemelayuan’ kita selama empat setengah abad itu. Mungkin tidak adil jikalau mereka sewenang-wenangnya melabelkan kita sebagai peribumi yang malas. Atau menganggap kita tidak setekun dan serajin bangsa lain. Atau mungkin benar psyche, nilai dan minda Melayu banyak terbentuk oleh kongkongan penjajahan itu.
Bagaimanapun, kita sudah merdeka sebelum 1511. Kita sudah membina empayar. Kita sudah membina tamadun. Kita mempunyai tradisi ilmu yang tinggi. Kita melahirkan buku-buku ilmu dan karya sastera yang besar.
Tradisi kesarjanaan di kalangan orang Melayu sentiasa mendapat naungan istana. Kebudayaan dan kesenian tinggi terbina daripada kalangan pemikir, ilmuwan dan pujangga. Malah, di tengah masyarakat Melayu desa yang bergantung pada sistem pertanian tradisi, sudah wujud kebijaksanaan, kepandaian dan pengetahuan mengenai alam, kosmologi dan asas sains. Itu belum lagi kehebatan karya sastera dalam bentuk lisan dengan segala macam kisah dan teladan serta peribahasa, pantun, gurindam dan bidalan.
Orang Melayu tidak membentuk citra mereka dengan hanya turunnya bendera Union Jack secara simbolik pada malam 31 Ogos 1957. Sejarah orang Melayu tidak bermula dari situ. Bagaimanapun, tarikh keramat itu menandakan satu lagi episod sejarah pembinaan bangsa Melayu. Kali ini bagi mengisi kemerdekaan dengan kesediaan untuk hidup dan membangun sebagai negara bangsa dengan kaum lain.
Bangsa Melayu tidak pandir dan bebal. Bangsa Melayu tidak menjadi cerdik dan terbuka hanya dengan terbinanya sekolah selepas Merdeka.
Sejak 1876 lagi apabila akhbar Melayu yang pertama muncul, orang Melayu sudah mula menggunakan akhbar untuk memperjuangkan nasib bangsa mereka. Malah, reformasi pemikiran agama secara menyeluruh bermula dengan debat cerdik melalui penerbitan seperti Al Imam dan pemikir seperti Syed Syeikh Al Hadi. Kesedaran kebangsaan di kalangan orang Melayu bermula dengan akhbar dan majalah Melayu seperti Utusan Melayu Majlis, Majalah Guru, Lembaga Malaya, dan Idaran Zaman.
Memang benar orang Melayu berada pada paras kemiskinan yang luar biasa apabila Tanah Melayu merdeka. Dan memang benar sistem hidup kebanyakan orang Melayu ketika zaman penjajahan menjauhkan mereka daripada pendidikan, perubahan dan permodenan. Memang kemerdekaan menjanjikan sesuatu yang baru pada orang Melayu.
Cuma malangnya tiada padang yang sama rata untuk mereka. Lalu mereka terasing daripada arus perdana kegiatan ekonomi. Apabila kegiatan ekonomi dicorakkan oleh ras, maka kesannya pasti buruk bagi sebuah negara pelbagai kaum.
Orang Melayu sentiasa bersedia membuat penyesuaian. Mereka mudah menerima apa saja. Dengan hanya satu tandatangan, ratusan ribu kaum lain secara automatik menjadi rakyat negara ini. Orang Melayu bersedia berkongsi kuasa. Orang Melayu bersedia menghormati kontrak sosial. Orang Melayu sentiasa berlebih kurang. Cuma sayangnya selalu mendapat kurang apabila yang lebihnya orang lain.
Orang Melayu punya jumlah. Orang Melayu punya kuasa politik. Orang Melayu berada pada hampir semua kedudukan strategik dalam pemerintahan negara. Malangnya dalam keadaan sedemikian, masih terdengar rintihan dan keluhan serta nada kekecewaan. Kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu, dengan sebahagian besar pentadbir awamnya Melayu, dan dasar yang jelas pro-Melayu nampaknya tidak cukup untuk membantu orang Melayu. Dengan terlaksananya Dasar Ekonomi Baru (DEB) hingga berakhirnya dasar itu, sasaran DEB masih jauh daripada memuaskan.
Lalu kita mulalah mencari salah. Mencari punca kegagalan. Lalu menuding jari mencari angkara siapa. Dan seperti selalu kita menuntut lagi agar dasar itu diteruskan. Lima puluh tahun dari sekarang pun mungkin kita akan meminta lagi. Dan lagi.
Nampaknya kita harus terus hidup dengan payung perlindungan. Kita masih memerlukan tongkat. Dan kita akan terus mencari alasan bahawa padang tidak selalu rata. Dan orang lain sudah berlari sedangkan kita baru belajar berdiri.
Mungkin salahnya kita juga. Kita tidak berusaha menganjak pada peringkat yang lebih tinggi. Mungkin juga kerana kita mudah berpuas hati dengan pencapaian kita selama ini. Atau kita suka mengukur kejayaan daripada apa yang ada pada kita satu masa dulu dan bukan dengan apa yang dicapai oleh orang lain pada masa ini.
Mungkin juga kita tidak mempersiapkan diri kita dengan ilmu, ketrampilan dan tekad. Tenaga yang ada pada kita habis pada soal tetek bengik, pada hal cabang dan batil. Hal besar kita lupakan.
Orang Melayu selalunya liat menerima teknologi. Orang sudah menggapai dunia siber, anak-anak kita tertinggal jauh ke belakang. Kita lebih suka menghabiskan wang untuk hal-hal lain daripada melengkapkan keperluan asas untuk membina kepakaran anak-anak kita bagi menghadapi cabaran masa depan. Di kawasan penempatan baru orang Melayu misalnya, kita lebih utamakan briged menangkap orang berkhalwat daripada memastikan bahawa anak-anak kita disiapkan perpustakaan mini yang baik dan pusat komputer yang sempurna.
Politik sepatutnya menyatukan orang Melayu, tapi politik yang ditunjang oleh kepentingan peribadi dan kerakusan lebih banyak merosakkan. Agama sepatutnya menyatukan kita, tetapi agama juga dipolitikkan. Dan agama juga menjadi alasan untuk kita meminggirkan orang lain dan membina kepompong kita sendiri. Kita menjadi tidak lagi toleran terhadap orang lain. Kita mulai memberikan definisi ‘Mereka’ dan ‘Kita’.
Agama Islam tidak pernah mengajar umatnya memenjarakan diri dalam kejumudan dan kekecilan. Seperti kata Perdana Menteri, kita sebenarnya mengkhianati Islam jika memilih untuk menolak kemajuan, taksub dengan konflik dan hidup dalam kejahilan.
Terlalu mudah mencari kelemahan di kalangan bangsa kita. Ada yang mengatakan kita kurang berpaksi pada agama. Ada yang mengatakan kita bangsa yang baru membina tamadun. Ada yang mengatakan memang sebenarnya orang Melayu tidak sehebat bangsa lain. Malah, ada yang mengatakan apa saja yang labelnya Melayu, maka pasti lemah dan mundur. Maka itu apa saja yang namanya Melayu harus ditolak dan diketepikan – termasuk budaya dan bahasa. Malah, sudah ada yang menganggap malang sekali mereka lahir sebagai Melayu.
Demikianlah, bangsa kita yang kecil ini dicorakkan oleh pelbagai kekeliruan daripada bangsa kita sendiri. Kita mahu menjadikan bangsa kita berjiwa besar, berfikiran terbuka, mampu bersaing, berminda kelas pertama dan bersedia menghadapi cabaran globalisasi. Bukanlah itu impian kita bersama, untuk meletakkan bangsa kita pada tahap yang lebih tinggi?
Moga-moga kemerdekaan tanah air yang melewati 50 Tahun ini dapat mengajak kita untuk membuat penilaian diri. Bangsa Melayu boleh hilang di dunia. Kuasa Melayu boleh luput dalam sekelip mata. Orang Melayu boleh menjadi bangsa yang terpinggir daripada arus perubahan negaranya. Apa yang kita miliki tidak kekal.
Orang Melayu hanya ada satu sebab untuk bersatu – survival. Orang lain mempunyai strategi yang kemas dan ampuh sekalipun mereka golongan minoriti. Sayangnya orang Melayu yang juga kaum majoriti di negaranya sendiri berlagak dan bermindakan kelompok minoriti. Atas alasan itulah perayaan kemerdekaan tahun ini seharusnya menjadi titik tolak penting bagi orang Melayu menanyakan “ke manakah kita selepas ini?” Alahai bangsaku.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment